My beloved fish

Oh ikan, beruntungnya engkau, berenang tenang di dasar yang luas, berkawan dengan haiwan yang bebas.

Hidup dan matimu diredhai, pahala dosa tidak bertepi, syurga abadi sudah pasti, bergembiralah, bersukarialah

Hidupmu untuk khalifah, matimu kerana Allah, taatmu hanya pada Pencipta, tidak pernah lalai dan leka walau rumah separuh dunia

Mungkin kerana kau tak punya akal, memikir menafsir dan mengurus diri, memajukan alam dan seisinya

Aku tidak setuahmu, aku tidak sehebatmu, aku tidak sekuatmu, aku juga tidak segagahmu

Hidup untuk mati, mati adalah harapanmu, tidak pernah takut menghadapi maut, senyum tangis tidak berbunyi, seperti memendam rasa, barangkali sudah terlihat nikmat di syurga justeru diam seribu bahasa, tika ditelan dan dikunyah manusia

Ikan, di mana kau diakhirat nanti? Adakah sudi menjadi sahabatku atau rakanku, barangkali kita tidak sempat bertemu, kau mungkin dengan rakan-rakan penamu, mana sudi berkawan dengan pembunuhmu, tak setanding pahalamu, tinggi menggunung. Aku? Emmmm…

Aku respect khidmatmu pada Tuhan, ingin aku menjadi sepertimu, wow…hebatnya

Bagiku, kau adalah rezeki, keranamu aku mampu beribadat, tanpamu siapalah aku, ampunilah aku Tuhan, aku lupa akan nikmatMu, lalai dengan nasihat rasulMu.

Terima kasih Tuhan, redhailah rezekiku

Part 2 : Self Introspect

By looking at the hand

Tangan merupakan bahagian saraf yang paling hujung dari tubuh manusia. Apa yang berlaku pada tubuh manusia akan terlihat pada tangan. Di antara bahagian-bahagian telapak tangan yang boleh menunjukkan keadaan suatu penyakit yang berlaku pada manusia adalah telapak tangan bahagian depan, tapak tangan bahagian belakang, semua jari (daripada jari ibu hingga ke jari kelingking), ruas-ruas jari bahagian atas dan kuku. Ilmu analisis telapak tangan ini sudah lama dipelopori oleh bangsa Yunani yang kemudian tersebar ke pelusuk dunia yang dikenali sebagai ‘the sign of hand’.

Menurut majoriti herbalis, kebanyakan penyakit berpunca dari usus besar (kolon) yang membawa kepada masalah sembelit. Simptom sembelit biasanya najis dikeluarkan melebihi 14jam, buang air besar tiap hari tapi tidak cukup kadarnya, buang air besar tiap hari tapi tidak keluar habis, buang air besar selang satu hari atau dua hari, kurang minum air, selalu mengantuk dan cirit birit.

Berdasar pengalaman herbalis, masalah kolon dan sembelit boleh dilihat melalui telapak tangan. Pertama, garis-garis ruas jari pada belakang tangan berwarna gelap. Kedua, garis-garis pada telapak tangan dan ruas seluruh jari berwarna gelap, semakin gelap mengindikasikan semakin parah masalah sembelit. Ketiga, jika terdapat bayangan kehitaman secara keseluruhan dari telapak tangan menandakan lebih kronik dari geris-garis gelap di ruas-ruas jari. Keempat , apabila jari telunjuk dan jari tengah direntang terasa sakit juga mengindikasikan masalah sembelit. Kelima, permasalahan usus besar lain ialah keadaan ibu jari bengkok. Keenam, jari telunjuk bengkok.

Apa yang jelas, sembelit adalah sebuah permasalahan yang boleh membawa kepada penyakit-penyakit berat seperti kencing manis, darah tinggi, gaut dan sebagainya. Tetapi ia bukanlah bermaksud seseorang yang bermasalah sembelit itu pasti akan berpenyakit kencing manis dan sebagainya. Apa yang pasti sebagai seorang manusia yang lemah dan tahu simptom-simptom sembelit tersebut perlu lebih berhati-hati dan berjaga-jaga.

Walaubagaimanapun kita perlu sedar akan kelemahan diri, ajal maut di tangan Allah swt dan setiap yang hidup pasti akan mati. Tua dan mati itu sudah pasti, janganlah kita takut kepada tua dan mati kerana ia pasti berlaku. Apa yang menjadi fokus pada kehidupan ini ialah berusaha sedaya upaya memastikan setiap amal perbuatan di dunia ini bermanfaat untuk dibawa ke akhirat, salah satunya ialah makanan dan minuman yang baik dan halal.

Bersambung…………

Rujukan : Tn.Haji Ismail bin Haji Ahmad & Pn. Hjh Norhayati binti Hj Ahmad (2004). Rumus dari: “Buku Panduan Intibah Siri 2”. Institut latihan Herba Al-Wahida Sdn. Bhd. Jakarta. ms 42

Part 1 : Self introspect

By looking at the physiology

Mata, telinga, hidung, mulut, tangan, kaki, perut dan otak adalah antara anggota jasad yang dianugerahkan oleh Allah swt kepada manusia. Pada setiap satu daripadanya berfungsi secara khusus dan tersendiri seperti, otak sebagai alat untuk memikir dan menafsir, kaki untuk menggerakkan jasad, tangan untuk capai sesuatu, mata untuk melihat, telinga untuk mendengar, hati untuk mengepam darah, jantung mengawal keluar masuk oksigen serta karbon dioksida dalam jasad dan sebagainya.Semua anugerah tersebut adalah antara alat-alat yang sangat rapat dengan diri manusia. Hilang atau rosak salah satu daripada anggota-anggota tersebut maka hilanglah seri dan keceriaan seseorang manusia. Justeru, menjadi tanggungjawab bagi setiap manusia itu menjaga dan memeliharanya dengan baik dan selamat dari segala masalah yang boleh memudaratkan. Ini kerana, kesemua anggota tersebut adalah antara amanah Allah swt untuk manusia, yang mampu dan membantu memudahkan segala urusan hidup di dunia ini.

Walaubagaimanapun, realiti kehidupan di dunia itu adalah sementara sahaja, anak kecil, kanak-kanak, remaja, belia, dewasa mahupun tua tidak dapat lari dari ketentuan ajal dan mati. Apa yang di tinggalkan hanyalah ahli keluarga, sahabat handai dan harta benda. Tetapi amalan baik atau buruk akan bersama-sama dengan manusia terbenam ke dalam liang lahat. Sekiranya berat serta berbukit-bukit amalan kebaikan yang pernah dilakukan semasa hayatnya di dunia maka bergembiralah, tetapi jika sebaliknya maka berdukalah mereka di sana (barzakh).

Apa yang menggerunkan, amalan-amalan baik dan buruk manusia itu dinilai dan dihisab berpandukan maklumat-maklumat yang dapat dari pancaindera-pancaindera manusia seperti tangan, kaki, mata, lidah dan sebagainya . Segalanya itu, ibarat perisik-perisik khas milik Allah swt yang telah ditugaskan dan diamanahkan untuk bekerja kepada manusia di dunia. Apa yang mampu manusia lakukan di sana (barzakh) hanyalah diam seribu bahasa, setiap amal kebaikan akan dibalas dengan ketenangan, manakala setiap amal keburukan akan dibalas dengan azab dan siksa yang tidak mampu digambarkan oleh benak akal manusia.

Berterima kasihlah kepada Allah swt, kerana kehidupan ini masih berjalan dan bergerak bebas seperti biasa tanpa cacat dan cela, sihat dan sejahtera. Ini disebabkan belas dan kasihnya Allah swt kepada manusia, kerana memberi peluang dan ruang untuk bertaubat dan menyucikan semula diri, dari segala kesalahan dan ketelanjuran yang pernah dilakukan dimasa-masa terdahulu.

Sedar ataupun tidak pada situasi yang berbeza, kasih dan sayang Allah swt itu hadir melalui sakit dan kemudaratan. Demam, pening, pitam, lemah dan sebagainya ibarat teguran dan nasihat daripada Allah swt agar kembali zikir kepada (mengingati) Allah saw, Pemilik segala ciptaan. Kadangkala manusia itu terlanjur bicara, tersalah kata-kata, tersilap melangkah dan terlupa dengan amanah dan tanggungjawab yang dipikul sehingga menyebabkan melekat titik hitam dihati (qolbi) kesan daripada hasat dan dengki, rosak perut, ginjal dan usus kesan daripada makanan dan minuman yang syubhah dan haram, luka di lidah dan telinga kesan daripada fitnah dan adu domba, sakit pada ginjal dan pundi kesan daripada amalan buruk dan terlarang oleh agama. Semuanya itu ibarat peringatan dari Allah swt kepada hambaNya agar sedar dari lamunan duniawi kembali ingati dan beribadah kepada Pemilik segala ciptaan.

Rugilah, kepada mereka yang tidak sedar dan terus hanyut dengan keseronokan dan keselesaan duniawi, yang akhirnya mereka ini sesal dan terasa ingin kembali semula di alam permulaan baliqh, kerana di situlah bermulanya nilai sebuah kehidupan, malah berpeluang mengumpul segala kebaikan dan kebajikan untuk dibawa semula ke alam akhirat kelak kali kedua.

Apa yang mengembiranya, manusia itu tidak ditempatkan di dunia fana ini dengan dipertanggungjawabkan sebagai khalifah begitu sahaja. Allah swt hadirkan al-Qur’an dan as-Sunnah sebagai bahan rujukan utama bagi manusia untuk mengenal alam semester ini, dari sejauh-jauh ciptaan mahupun sedekat-dekat ciptaan Allah swt itu ada hikmah yang tersembunyi dan mampu diterjemahkan dalam bentuk ilmu pengetahuan dan sebagai pedoman kepada manusia di bumi, sebagaimana hikmahnya penciptaan tapak tangan kepada manusia……

bersambung………..

Back to the fitrah without shy

Ummat manusia adalah makhluk ciptaan Rabb yang terbaik. “khaira ummah”. Manakala, makhluk lain seperti haiwan, gunung-ganang, bukit-bukau, tumbuh-tumbuhan, batu-batan, tanah-tanih, udara, angin, jin, syaitan dan sebagainya merupakan antara makhluk ciptaan Rabb juga, tetapi mereka ini tidak berkesempatan dan ditakdirkan mendapat anugerah serta keistimewaan seperti manusia yang memiliki akal, hati, nafsu, dan jasad yang sempurna dan menarik. Walaubagaimana berbeza ciptaan tersebut, setiap ia ada hikmah dan maksudnya yang tersendiri yang memerlukan kajian, pernelitian dan pemerhatian yang mengembang dan mendasar.

Tetapi kini, keistimewaan dan kelebihan yang diamanahkan itu, tidak difikirkan secara manfaat dan berhemah oleh sebilangan ummat manusia. Kedurjaan, kejahatan, kerosakan dan kemusnahan berleluasa tanpa sesal dan malu dipermukaan bumi. Rogol, curi, rompak, ragut, zina, lacur, bunuh dan sebagainya semakin menular tanpa belas dan kasihan.

Fitrah manusia itu menginginkan kesejahteraan, kebaikan, keharmonian, keselesaan, ketenangan, pujian dan sebagai yang berunsur positif. Tiada manusia yang suka kepada keburukan, sebagai contoh cuba bertanya kepada pencuri, adakah mereka membenarkan anak mereka curi wang mereka (bapa) sendiri, sudah pasti jawapan seperti mereka yang tidak bekerjaya sebagai pencuri iaitu tidak setuju sama sekali. Begitu juga ibu yang bekerjaya sebagai pelacur, mereka tentu tidak bersetuju anak perempuan mereka mengikut jejak langkah gelap itu. Inilah fitrah yang ada dan tertenam dalam jiwa dan diri manusia, mereka tidak mampu menafikan perkara tersebut, walau mengalir darah putih sekalipun.

Bersykurlah, bahawa Allah Taala itu adalah Rabb yang pemaaf dan mengampun. Insaf, sedar dan taubat dari kesilapan lalu adalah satu hidayah dan anugerah yang jarang sekali terhidang di hadapan seseorang. Perasaan seperti itu memanggil-manggil dan meronta-ronta pada waktu-waktu tertentu, tetapi manusia itu tidak sedar dan mengindahkan ia. Sikap ini menyebabkan ia pergi menyendiri, sepi seribu bahasa. Menjadi suatu kerugian yang besar, apabila ia terus hilang tanpa dikesan. Entah bila pula akan muncul ibarat merajuk dengan sikap ego manusia.


Tanpa diduga, sebenarnya ada sebahagian insan yang mula terdetik untuk kembali ke pangkal jalan dan balik semula kepada fitrah, iaitu bertindak secara rational, sopan, rindukan kesejahteraan dan menginginkan keadaan yang tenteram dan mententeramkan diri dan orang sekeliling. Walaubagaimanapun, sebahagian dari mereka itu tidak kekal berperasaan begitu.

ini kerana kocakan ombak alam sekitar yang tidak menyokong dan mendorong. Sebahagian media cetak, elektronik, rakan-rakan, keluarga, masyarakat, sanak-saudara, taulan, guru dan seumpamanya seperti tidak mengizinkan mereka ini kembali kepada fitrah. Video dan gambar yang tidak beretika, ibu bapa dan guru-guru yang tidak ikhlas membimbing dan masyarakat yang tidak sedar dan berhasrat menginginkan perubahan. Ahirnya, pangkal jalan yang diingini sekadar melambai-lambai pergi tanpa menoleh. Perasaan malu dan kecewa menghantui diri, pasrah dan redha yang tersimpang melekat di dada dan serebelum kepala.

Justeru, menjadi tanggungjawab diri, keluarga, masyarakat dan negara untuk bersama-sama melihat keseriusan fenomena ini. Kita tidak nafikan bahawa ramai adik-adik, abang-abang, ibu-ibu, bapa-bapa dan rakan-rakan yang ingin sangat kembali kepada fitrah yang asli. Tetapi tidak berkesempatan dan tiada tempat untuk mengadu dan merujuk. Apa yang ada dan hadir di kepala hanya mereka yang sekepala dan sebulu, sama seperti dahulu. Oleh itu, mari membina masyarakat harmoni dan sejahtera dengan memberi bantuan dan dorongan dengan cara apa sekalipun samada dengan hati, lidah, atau tangan. Berniatlah, menulislah, atau berilah nasihat bagi membantu mereka yang memerlukan bimbingan dan sokongan, "tolong-menolonglah kamu dalam perkara kebaikan/kebajikan, dan janganlah kamu tolong-menolong dalam perkara keburukan/kedurjanaan”

Oleh hal yang demikian, janganlah malu dan segan apabila anda berasa menyesal dan insaf dengan kesalahan dan kesilapan lampau. Jadikanlah ia sebagai pengalaman yang akan memandu diri di masa mendatang. Carilah rakan-rakan dan kenalan yang boleh membimbing dan ikhlas memberi tunjuk ajar walau dalam apa keadaan sekalipun.